
TAWAU: Seorang lelaki yang bertindak agresif sehingga mencederakan isterinya malah disyaki turut mengugut dengan kapak dan pisau, ditangkap di Kg Haji Matahir di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata suspek berumur 44 tahun itu diberkas susulan laporan polis oleh mangsa yang risau dengan keselamatan dirinya.
“Tindakan agresif suspek itu dikatakan berpunca daripada pergaduhan sesama suami isteri terlibat akibat salah faham di kediaman mereka,” katanya di sini pada Sabtu.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Jasmin berkata, mangsa bukan hanya dipukul sehingga cedera anggota badan tetapi turut diugut dengan senjata tajam oleh suaminya.
Menurutnya, susulan laporan diterima, sepasukan polis yang diketuai Ketua Balai Polis Bombalai SM Fredolen Biin melancarkan gerakan mengesan mangsa di kampung terbabit.
“Suami mangsa cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis, namun gagal dan ditahan selepas berlaku pergelutan,” katanya.
Hasil pemeriksaan, polis turut menemui sebilah kapak dan sebilah pisau yang disyaki mempunyai kaitan dengan siasatan kes berkenaan.
Mengulas lanjut, beliau berkata suspek dan barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan susulan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.
“Kita harap orang ramai tidak mengambil tindakan kekerasan jika berlaku konflik rumah tangga, tetapi selesaikan dengan baik atau rujuklah jabatan berkaitan untuk mendapatkan khidmat nasihat,” katanya.


