Lelaki Curi 2 Beg Jemaah Sedang Solat Diberkas, Rupanya Bukan Satu Masjid Yang Kena

LocalPolitics
28 Nov 2025 • 11:43 AM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

Lelaki yang ditularkan dalam satu rakaman CCTV yang menceroboh dan melarikan dua beg milik jemaah wanita sedang solat di sebuah masjid berjaya diberkas.

Memetik sumber Sinar Harian, suspek berusia 30 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Gong Tok Dor, Jerteh di sini pada pukul 7.20 pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, tangkapan tersebut berikutan aduan dibuat ahli kariah Masjid Gong Mak Som, Kampung Raja, Besut, pada pukul 8.27 malam, Selasa lalu.

“Pengadu telah meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati seorang lelaki memasuki ruang solat jemaah perempuan sebelum melarikan beg berkenaan,” kata polis.

image is not available

Polis memaklumkan suspek turut mengaku terlibat mencuri di sebuah masjid lain di Jerteh. Malah, ujian saringan air kencing ke atas lelaki itu mendapati suspek positif methamphetamine.

image is not available

Polis turut merampas beberapa barangan dipercayai berkaitan kegiatan curi itu, antaranya sehelai kemeja T berwarna hijau, sehelai seluar berwarna hitam, empat buah buku, dua beg kecil, kunci, tasbih dan beg kecil berzip.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, manakala bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau sebat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Sumber: TikTok

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.