
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Rakyat Malaysia pada ketika ini pasti sudah mula membiasakan diri mengisi minyak dengan menggunakan kad pengenalan demi menikmati minyak petrol RON95 berharga RM1.99 sen seliter menerusi program BUDI95.
Tidak dinafikan, program subsidi bersasar petrol RON95 ini amatlah membantu rakyat dalam menjimatkan wang untuk mengisi minyak kenderaan.
Pun begitu, masih ada segelintir individu yang mempertikainya dengan mendakwa kononnya BUDI95 ini menyebabkan kuantiti petrol berkurangan tidak seperti dahulu.
Baca Artikel Berkaitan: BUDI95: Lelaki Dakwa Had 300 Liter Tak Cukup, Sekali Balik Kampung Dah Habis Buat Ramai Bingung
Lelaki tak puas hati dengan warna RON95 nampak cair
Terbaharu, tular pula di media sosial seorang lelaki tidak berpuas hati dengan warna minyak petrol dipercayai jenis RON95 di sebuah stesen minyak di Klang, Selangor.
Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, lelaki itu menyatakan bahawa warna RON95 di stesen minyak itu kelihatan sangat cair, tidak seperti di tempat lain selepas dia mengisinya di dalam sebuah botol minuman.
Difahamkan, dia yang menunggang motosikal mengisi sedikit minyak petrol kedalam botol minuman selepas menyedari mengenai warna petrol terbabit.
Ingin buat aduan, syak ada penipuan petrol di stesen minyak terbabit
Menurutnya, dia telah bertanya kepada pekerja di sana mengenai perkara itu, namun pekerja terbabit menyatakan bahawa petrol terbabit adalah RON95 yang biasa seperti di stesen-stesen minyak lain.
“Tengok stesen minyak ni, macam air dah petrol dia. Lepas itu bila tanya pekerja dia cakap biasa punya petrol, mana ada warna macam ini kalau biasa punya petrol, nanti aku complaint,” katanya.
Lelaki terbabit curiga dengan warna RON95 itu dan mengesyaki terdapat penipuan oleh stesen minyak berkenaan.
@gigibyeok tolong repost.. tag yg berkenaan shell pekan kapar color dh mcm air limau ais #shelltipu #pekan ♬ original sound – gigibyeok
Pewarna bahan api ditambah untuk membezakan jenisnya
Berdasarkan semakan kami di internet, tiada kenyataan rasmi daripada kerajaan atau syarikat-syarikat minyak mengenai warna spesifik bagi RON95 di Malaysia.
Pun begitu pada 2015 lalu, portal automotif, Paultan.org ada menjelaskan mengenai pewarna (dye) yang digunakan dalam RON97.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Shell Malaysia berhubung satu isu tular terdahulu, syarikat itu menyatakan bahawa jumlah pewarna merah yang disuntik ke dalam RON97 tidak menjejaskan kualiti produknya.
Jurucakap Shell memberitahu portal berita The Star bahawa warna semula jadi petrol dan diesel adalah kuning muda.
Tambahnya, pewarna bahan api ditambah untuk pengenalan visual gred dan jenis bahan api yang berbeza dan perwarna itu tidak mempunyai sebarang kesan ke atas kualiti bahan api dan prestasi enjin.
Isu warna RON95 cetus perdebatan di media sosial
Perkongsian lelaki terbabit mengenai warna RON95 di media sosial telah meraih pelbagai reaksi sekali gus mencetuskan perdebatan.
Ada segelintir pengguna TikTok yang bersetuju bahawa warna RON95 tidak sepatutnya kelihatan cair sedemikian.
Malah, ada yang mendakwa bahawa kualiti minyak petrol itu semakin berkurang sejak BUDI95 diperkenalkan.
Bagaimanapun, ada juga netizen yang menyatakan bahawa warna RON95 bagi setiap stesen atau syarikat minyak sememangnya berbeza-beza disebabkan pewarna (dye) yang ditambah ke dalam petrol itu tanpa menjejaskan kualiti dan prestasinya.






