
JOHOR BAHRU – Hutang dipercayai menjadi antara motif seorang lelaki dibunuh kejam sebelum mayatnya diikat, dibungkus serta dililit dengan jaring dan dicampakkan ke Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, Batu Pahat.
Mayat mangsa ditemukan orang awam kira-kira pukul 12.30 tengah hari semalam dalam keadaan menyayat hati apabila tangan dan kakinya diikat menggunakan pita pelekat selain terdapat beberapa kesan kecederaan pada bahagian pinggang serta lengan.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis Hoo Chuan Huat berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan pembunuhan tersebut mempunyai kaitan dengan masalah hutang namun motif sebenar masih dalam siasatan.
Menurut beliau, hasil siasatan turut mendapati mangsa dipercayai merupakan lelaki yang dilaporkan hilang oleh isterinya pada 29 Julai lalu selepas satu laporan orang hilang dibuat di Mutiara Rini, Iskandar Puteri pada pukul 10.09 malam.
Katanya, pengecaman awal oleh waris terdekat mengesahkan identiti mangsa berdasarkan pakaian serta barangan peribadi yang ditemui bersama mayat berkenaan.
“Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 40 tahun di sekitar Batu Pahat pada hari sama.
“Semakan rekod mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala polis turut merampas lima telefon bimbit dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan, namun polis tidak menolak kemungkinan pembunuhan tersebut berpunca daripada masalah hutang,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki dibunuh, diikat sebelum mayat dicampak ke sungai appeared first on Kosmo Digital.






