
JOHOR BAHRU: Tiga lelaki tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, Batu Pahat semalam dalam keadaan badannya dibungkus dan dililit menggunakan jaring.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, mayat mangsa yang ditemui berada dalam keadaan tangan dan kaki diikat dengan pita pelekat, selain terdapat luka kecederaan di pinggang dan lengan.
“Penemuan mayat mangsa dilaporkan orang awam pada pukul 12.30 tengah hari, semalam. Pemeriksaan awal mendapati mangsa sebelum ini telah dilaporkan hilang oleh isterinya pada 29 Julai lalu di Mutiara Rini, Johor Bahru.
“Identiti mangsa disahkan berdasarkan pengecaman awal yang dibuat waris terdekat, selain menurut pakaian dan barangan milik mangsa yang ditemukan bersama mayat berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Susulan itu, Chuan Huat berkata, pihaknya telah menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 40 tahun di sekitar Batu Pahat, semalam.
“Semakan rekod mendapati, dua daripada suspek ditahan mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah. Selain itu polis turut merampas lima telefon bimbit milik suspek.
“Ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Chuan Huat turut memberitahu, pihaknya tidak menolak motif pembunuhan itu adalah disebabkan hutang, bagaimanapun siasatan lanjut sedang dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh hubungi talian 019-2792095 atau 07-2212999 bagi membantu siasatan,” katanya.
Habis..
Caption:
Hoo Chuan Huat
The post Tiga lelaki ditahan, bantu siasatan penemuan mayat dalam sungai di Batu Pahat appeared first on Utusan Malaysia.





