‘Kami ingat bangkai haiwan, rupanya mayat lelaki diikat jaring’

4 Aug 2026 • 3:21 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Kami ingat bangkai haiwan, rupanya mayat lelaki diikat jaring’

BATU PAHAT – Niat seorang pemancing untuk pulang selepas selesai memancing bertukar menjadi detik yang tidak akan dilupakan apabila menemui mayat seorang lelaki dalam keadaan dibungkus serta dililit dengan jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja, di sini, semalam.

Muhamad Zul Fikri Borhanodin, 33, berkata, pada mulanya dia menyangka objek yang terapung di permukaan sungai itu hanyalah bangkai haiwan sebelum mula berasa curiga apabila melihat keadaannya yang tidak seperti biasa.

“Saya rasa pelik dan curiga bila nampak objek itu terapung. Dalam hati saya tertanya-tanya, mana mungkin haiwan mati dalam keadaan terbelit dengan jaring,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Sembrong, di sini hari ini.

Menurut Muhamad Zul Fikri, sebelum penemuan itu, dia bersama seorang rakannya menaiki dua bot berasingan untuk memancing sambil merakam video bagi kegunaan peribadi.

“Sewaktu dalam perjalanan, saya ternampak objek terapung yang dibawa arus ketika air sedang pasang. Bot saya berselisih dengan objek itu pada jarak kira-kira lima meter dan pada masa sama saya terhidu bau busuk. Apabila saya teliti betul-betul, saya nampak seperti tangan manusia. Dari situ saya mula yakin ia bukan bangkai haiwan,” katanya.

Menurutnya, seorang rakannya pernah ternampak objek sama sehari sebelum itu, namun menyangka ia hanyalah sampah atau objek lain yang hanyut di sungai.

“Kalau tengok sekali imbas memang tak nampak seperti mayat. Keadaan mayat ketika itu terlungkup dan sudah berbau,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Polis Hoo Chuan Huat berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan kejadian itu melibatkan pembunuhan yang mempunyai kaitan dengan masalah hutang namun motif sebenar masih dalam siasatan.

Jelasnya, susulan itu, tiga lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 40 tahun ditahan sekitar Batu Pahat untuk membantu siasatan.

Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 10 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Kami ingat bangkai haiwan, rupanya mayat lelaki diikat jaring’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved