Lelaki Didakwa Biarkan Ibu Kandung Kebuluran Demi Bolot Harta Ditemui Mati Berulat & Hampir Mereput

18 Aug 2022 • 10:53 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Lelaki Didakwa Biarkan Ibu Kandung Kebuluran Demi Bolot Harta Ditemui Mati Berulat & Hampir Mereput

Thailand – Seorang lelaki yang didakwa membiarkan ibunya kebuluran dengan harapan dapat mewarisi harta pusaka ditemui mati dalam keadaan berulat di rumahnya, dalam kejadian di wilayah Buriram semalam.

Memetik laporan The Thaiger, lelaki itu dipercayai telah meninggal dunia akibat penyakit tibi.

Penemuan mayat lelaki itu dilakukan oleh pihak Polis Satuek selepas menerima laporan daripada jirannya.

Difahamkan pegawai polis telah menemui mayat lelaki berusia 57 tahun itu di atas katil kayu dalam keadaan berulat dan hampir mereput.

Mereka percaya bahawa lelaki itu telah meninggal dunia selama lebih empat hari.

Lebih mengejutkan, polis juga turut menemui ibunya yang terlantar di atas katil berhampiran mayat itu.

Wanita warga emas berusia 82 tahun itu dipercayai tidak menyedari bahawa anaknya telah mati.

Dia juga mengadu kepada polis bahawa dia kelaparan dan sudah tidak makan selama tiga hingga empat hari.

image is not available
Gambar: The Thaiger

Dakwanya lagi, dia telah terlantar sakit sejak 10 tahun yang lalu dan menerima bantuan kerajaan.

Bagaimanapun, wang bantuan itu didakwa telah dicuri oleh anak lelakinya, yang sering membeli minuman keras dan dalam masa yang sama membiarkannya kelaparan.

Wanita itu juga turut mendakwa bahawa dia merasakan anaknya itu mahu dia mati kelaparan supaya boleh menjual rumah, tanah dan semua asetnya.

“Dia makan di hadapan saya dan apabila saya meminta makanan daripadanya, dia tidak memberi saya apa-apa. Saya terpaksa minum air paip.

“Dia juga selalu memukul saya setiap kali dia mabuk. Saya tidak tahu bagaimana saya boleh bertahan sehingga sekarang.

“Saya tidak mempunyai sesiapa dan di sini tiada elektrik,” katanya.

Sementara itu, seorang jiran kepada keluarga itu berkata bahawa dia tahu mangsa membiarkan warga emas itu kelaparan dan telah melaporkan kejadian itu kepada pihak polis.

Bagaimanapun, polis tidak menemui apa-apa bukti selepas menyiasat mengenai laporan tersebut.

Jiran itu juga mendakwa bahawa tiada sesiapa yang mahu melawat warga emas tersebut kerana takut dengan anaknya yang mabuk dan bimbang dijangkiti penyakit tibi.

Manakala, seorang lagi jiran mendakwa bahawa mangsa telah menggadaikan tanah pusaka sejak 10 tahun yang lalu dan membelanjakan semua wang untuk berjudi.

Dalam pada itu, Ketua Daerah Satuek, Piphat Bamrungklang berkata warga emas tersebut kini berada di Hospital Satuek untuk menerima rawatan.

Tambahnya, pegawai polis kini sedang berusaha untuk menjejaki ahli keluarga yang lain. Jika mereka tidak menemui sesiapa, maka wanita itu akan dihantar ke rumah jagaan warga emas.

Sumber: The Thaiger