KLANG - Seorang pembantu perancang acara sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan memandu secara mabuk sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal parah dalam kemalangan minggu lalu.
Low Kean Peng, 35, yang memakai baju T berwarna coklat dan berseluar pendek membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, A Khartiyayini.
Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa memandu kenderaan dengan kadar alkohol sebanyak 196 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) kandungan darah, iaitu melebihi 146mg yang dibenarkan untuk memandu.
**media[3524512]**
Untuk rekod, had alkohol yang dibenarkan untuk mengendalikan kenderaan di Malaysia ialah sebanyak 50mg alkohol dalam setiap 100 ml darah.
Kesalahan terbabit menyebabkan kecederaan parah kepada penunggang motosikal, Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, di Persiaran Kota di sini, jam 12.35 tengah malam, 13 Mei lalu.
**media[3524520]**
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020, yang membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun, denda RM30,000 hingga RM50,000, hilang kelayakan memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu tidak kurang tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nadia Syuhada Rosli memohon mahkamah tidak membenarkan tertuduh diberi ikat jamin kerana kesalahan yang dipertuduhkan termasuk dalam kes yang sangat serius.
**media[3524518]**
Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya mahkamah mahu memberikan jaminan, pendakwaan mencadangkan kadar jaminan ditetapkan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
“Jaminan tinggi itu mengambil kira keseriusan kesalahan yang menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
“Tertuduh juga perlu menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah sehingga kes selesai," katanya.
Sementara itu, peguam, Ethan WH Tan merayu anak guamnya diberi ikat jamin yang minimum kerana anak guamnya perlu menanggung ibu bapanya yang uzur.
“Ibunya menghidap penyakit kencing manis sementara bapanya pula pesakit kanser,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Khartiyayini membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
**media[3524519]**
“Ia termasuk menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai dan perlu melaporkan diri di balai polis terdekat, dua kali bagi setiap bulan,” katanya menambah sebutan kes pada 30 Julai depan.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Hue berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang menunggang motosikal mengalami kecederaan parah selepas tercampak sejurus dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Bezza.
Beliau berkata, kenderaan yang dipandu suspek dipercayai bergerak dari arah Pelabuhan Klang ke Shah Alam, secara melulu dan melawan arus sejauh 3.5 kilometer sebelum merempuh motosikal mangsa.
