
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sebelum ini tular video di media sosial memaparkan tindakan pemandu Perodua Bezza yang memandu secara melawan arus sebelum merempuh sebuah motosikal di Persiaran Kota, Klang, Shah Alam.
Insiden itu menyebabkan penunggang motosikal berkenaan mengalami kecederaan parah dan pemandu didapati positif alkohol.
Pemandu Bezza mabuk buat pengakuan tak bersalah
Hari ini (18 Mei) pemandu Bezza dikenali sebagai Low Kean Peng berusia 35 tahun dituduh di Mahkamah Majistret Klang atas pertuduhan memandu bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kecederaan parah kepada seorang penunggang motosikal pada minggu lalu.
Pemandu berkenaan bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pemandu Bezza itu didakwa telah memandu kereta dengan kadar 196 miligram (mg) alkohol dalam 100 mililiter (ml) darah. Jumlah tersebut melebihi daripada had yang ditetapkan iaitu sebanyak 146 mg alkohol dalam 100 ml darah, sehingga mengakibatkan kecederaan parah ke atas penunggang motosikal yang juga penghantar makanan, Zulfiqar Zamirul Amirul Nizam, 27.
Insiden tersebut berlaku di Persiaran Kota, Klang kira-kira jam 12.35 pagi pada 13 Mei.
Boleh dikenakan penjara dan denda, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Memetik laporan Berita Harian, pertuduhan tersebut dikemukan di bawah Seksyen 44(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sekiranya disabit kesalahan, individu boleh dihukum penjara tidak kurang tujuh tahun serta tidak lebih 10 tahun dan denda tak kurang RM30,000 serta tidak melebihi RM50,000. Bukan hanya itu, tertuduh juga boleh hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh tidak kurang daripada tujuh tahun.
Tiada ikat jamin ditawarkan kerana kesalahan serius
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nadia Syuhada Rosli memaklumkan mahkamah tiada ikan jamin yang ditawarkan ekoran kesalahan tersebut adalah serius sehingga mengakibatkan kecederaan parah.
Walau bagaimanapun jika mahkamah berpendapat nilai jaminan boleh diberikan ke atas tertuduh, beliau memohon anggaran sebanyak RM15,000 dikenakan dengan melihat kepada keseriusan kes dan tambahan syarat yang sesuai.
Pemandu Bezza yang diwakili Peguam, Entan Tan kemudiannya memohon ikat jamin minimum diberikan dengan alasan tertuduh adalah penanggung tunggal. Tertuduh menanggung keluarga dengan pendapatan sekitar RM1800 -RM2,000 daripada kerja sambilan iaitu sebagai pembantu perancang acara.
Jelas peguam itu lagi, ibu pemandu Bezza berkenaan menghidap penyakit kencing manis dan bapa pula pesakit kanser yang memerlukan rawatan perubatan dari semasa ke semasa dan kedua mereka bergantung kepadanya.
“Mahkamah boleh mengenakan syarat tambahan kepada tertuduh sebagai jaminan,” ujarnya.
Mahkamah benarkan ikat jamin RM10,000 dengan syarat tambahan, Lesen digantung sehingga kes selesai
Mahkamah kemudiannya membenarkan pemandu Bezza tersebut diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan di mana tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebanyak dua kali sebulan manakala lesen memandu pula digantung sehingga kes selesai.
Kes akan disebut semula pada 30 Julai. Prosiding tersebut turut dihadiri oleh keluarga penunggang motosikal berkenaan iaitu Ibu, Hamidah Othman, 54, serta tunangnya, Nurul Syafiqah Ridzuan, 25.
BACA ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Mabuk Lawan Arus Rempuh Penunggang Motosikal Hingga Cedera Parah, Suspek Sudah Ditahan [Video]
