Pekerja kedai emas popular didakwa curi cincin, rantai tangan majikan

18 May 2026 • 12:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pekerja kedai emas popular didakwa curi cincin, rantai tangan majikan
Muhammad Zuhairi (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban pada Isnin.

SEREMBAN - Seorang pekerja kedai emas popular mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin atas pertuduhan mencuri sebentuk cincin emas dan seutas rantai tangan emas milik majikannya.

Tertuduh, Muhammad Zuhairi Khasful Anuar, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja sebagai pembantu jualan kanan di sebuah kedai emas didakwa mencuri sebentuk cincin emas dan seutas rantai tangan emas milik kedai emas berkenaan bernilai RM8,154.80.

Perbuatan tersebut dilakukan pada 9 April 2026 dan 7 Mei 2026 di kedai emas berkenaan cawangan Nilai di sini.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, boleh dipenjarakan hingga tujuh tahun dan dengan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin tidak menawarkan jaminan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Iwana Sakinah Mohd Lajis memohon jaminan yang rendah dan munasabah serta memaklumkan tertuduh akan dijamin oleh ibunya yang merupakan suri rumah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes untuk laporan forensik kamera litar tertutup(CCTV) pada 23 Jun depan.