Lelaki didakwa merompak tersenyum ketika tiba ke mahkamah

12 Aug 2026 • 1:05 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Lelaki didakwa merompak tersenyum ketika tiba ke mahkamah

GEORGE TOWN: Seorang lelaki yang didakwa atas pertuduhan merompak dan mencederakan seorang warga India mencuri perhatian ramai apabila dilihat hanya tersenyum semasa wajahnya dirakam lensa kamera ketika diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh, Mohd Salim Kapoor Rahim, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan rompakan terhadap harta milik seorang lelaki warga India serta dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa di hadapan sebuah rumah di Blok A-2-5, Taman Nusantara, Jalan Makloom, di sini, kira-kira jam 4.20 petang pada 8 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes pula, tertuduh dipercayai pergi ke sebuah inap desa yang didiami mangsa sebelum memperkenalkan dirinya sebagai anggota polis dan meminta mangsa untuk mengemukakan pasport.

Tertuduh kemudian didakwa bertindak agresif dengan memukul mangsa menggunakan kunci mangga sebelum merampas telefon bimbit milik lelaki itu dan melarikan diri. Susulan kejadian, mangsa dikatakan mengalami kecederaan pada bahagian hidung dan belakang badan.

Sementara itu, ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Anuarul Hakim Abdul Muen menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan beberapa syarat tambahan termasuk tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis, tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pekerjaan dan jaminan akan dibuat oleh isterinya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 bersama syarat tambahan yang ditetapkan pihak pendakwaan selain menetapkan 15 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen serta lantikan peguam. –UTUSAN

The post Lelaki didakwa merompak tersenyum ketika tiba ke mahkamah appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved