
IPOH - Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh minggu lalu atas pertuduhan mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 480.60 gram.
Teoh Wai Loon, 44, dan isterinya, Lim Suk Pei, 38, didakwa melakukan kesalahan itu secara bersama kira-kira jam 10.30 malam pada 4 Ogos lalu.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis MDMA seberat anggaran 480.60 gram di sebuah bilik di premis di Bercham Bistari 4, Medan Bercham Bistari, di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di daerah Kinta, Perak, mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup. Jika tidak dijatuhi hukuman mati, mereka juga hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulqarnain Wan Asmira di hadapan Majistret S Punitha.
Mahkamah menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes serta penyerahan laporan kimia.
Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh. - Getaran, 12 Ogos 2026





