
PASIR MAS: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menyeludup 15 migran warga Myanmar di stesen minyak di Jeli, dekat sini, tahun lalu.
Mohd. Faizal Mat Yusoh, 46, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah. Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes penyeludupan migran di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menjalankan aktiviti penyeludupan 15 migran warga Myanmar di sebuah stesen minyak di Jeli dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada 18 Mei 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama dibaca bersama Seksyen 36 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Zulhafiz Mohd Zahid. Mahkamah menetapkan 24 September ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN
The post Lelaki didakwa seludup 15 pendatang warga Myanmar appeared first on Utusan Malaysia.






