Tiga lelaki ditahan cuba curi kabel di Kajang

14 Sep 2026 • 11:59 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Tiga lelaki ditahan cuba curi kabel di Kajang

KAJANG – Tiga lelaki termasuk seorang warga asing ditahan selepas dipercayai terlibat dalam cubaan mencuri kabel di kawasan lampu isyarat berhampiran Jalan Reko, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu terbongkar selepas pengadu bersama rakannya melihat beberapa lelaki dipercayai sedang menarik keluar kabel dari sebuah lubang manhole.

“Ketika cuba menghalang perbuatan tersebut, beberapa individu berkenaan bertindak agresif terhadap pengadu dan rakannya sebelum melarikan diri dari lokasi.

“Susulan kejadian, satu laporan polis dibuat pada pukul 6.27 pagi hari sama,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut beliau, hasil risikan dan siasatan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berjaya menahan tiga suspek lelaki berusia antara 25 hingga 46 tahun dalam operasi antara pukul 1 petang hingga 4.30 petang tadi.

Katanya, tangkapan membabitkan dua lelaki tempatan yang mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta seorang lelaki bukan warganegara.

“Polis turut merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes termasuk dua buah kereta dan masih mengesan suspek lain yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya.

Naazron berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua daripada tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang lagi negatif.

“Dua suspek yang positif dadah turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Kajang esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Aizzad Kamaruddin di talian 012-379 9085 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

The post Tiga lelaki ditahan cuba curi kabel di Kajang appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved