
PARIT – Seorang lelaki berusia 38 tahun dikhuatiri lemas setelah cuba menyelamatkan botnya yang hanyut dari sangkar ikan miliknya di tepi Sungai Perak di Batu 18, Kg. Kuchai, Bota Kiri di sini semalam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 5 petang.
Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai insiden itu selepas mereka tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Iskandar bagi panggilan berkaitan ular.
“Ketua operasi dimaklumkan terdapat seorang lelaki berbangsa Melayu berusia 38 tahun dilaporkan telah terjun ke dalam sungai bagi mendapatkan semula botnya yang hanyut dari sangkar ikan milik mangsa di tepi Sungai Perak.
“Anak saudara beliau cuba menghulurkan bantuan namun tidak berjaya menyelamatkannya,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, ketua operasi telah melakukan pencarian di tebing sungai secara surface searching pada pukul 5 petang dan 9.45 malam bersama orang awam namun tidak menemui mangsa.
“Pusat Kawalan Bomba (PKB) telah didirikan di Stesen Pam Lambor Kiri.
“Operasi hari ini bermula pukul 8 pagi dan dibantu pasukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dan BBP Pulau Pangkor. Pasukan Khas K9 akan turut membantu pencarian mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba selamatkan bot hanyut appeared first on Kosmo Online.





