Lelaki dilapor hilang ditemui maut dalam longkang

24 Jun 2026 • 1:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Lelaki dilapor hilang ditemui maut dalam longkang
Mangsa dilaporkan hilang oleh ahli keluarga selepas tidak pulang ke rumah sebelum mayatnya ditemukan di dalam longkang berhampiran Persiaran Selangor, Seksyen 15 pada malam Selasa.
Image from: Lelaki dilapor hilang ditemui maut dalam longkang
Motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan dan terjatuh ke dalam longkang.

 

SHAH ALAM - Kehilangan seorang lelaki ketika pulang dari tempat kerja terungkai selepas mayatnya ditemukan di dalam longkang berhampiran Persiaran Selangor, Seksyen 15 di sini pada malam Selasa.

Mangsa berusia lingkungan 40-an dan bekerja di Toyota Bukit Raja sebelum ini dilaporkan hilang oleh ahli keluarga selepas tidak pulang ke rumahnya di Seksyen 25, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat seorang lelaki bersama sebuah motosikal pada jam 11.40 malam.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya pada jam 5.40 pagi, 23 Jun.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahagian kiri jalan dan terjatuh ke dalam longkang.

"Kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

**media[3560785]**

Sarudin berkata, bedah siasat yang dijalankan di Hospital Shah Alam pada jam 9 pagi Rabu mengesahkan punca kematian mangsa akibat kecederaan dada disebabkan kemalangan jalan raya.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan tersebut diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097.

Terdahulu, tular hebahan di media sosial memaparkan hebahan mengenai kehilangan seorang lelaki yang dipercayai gagal pulang ke rumah selepas tamat waktu kerja.

Menerusi hebahan yang dikongsikan, lelaki berkenaan dikenali sebagai Mohd Suhadi Mohd Noor Din yang dilaporkan hilang pada kira-kira jam 5.40 pagi, Selasa.

Difahamkan, Mohd Suhadi kali terakhir dikesan berada di kawasan Toyota Bukit Raja di sini sebelum gagal dihubungi oleh ahli keluarga.

Menurut maklumat yang dikongsikan, lelaki itu dipercayai menunggang motosikal jenis Honda EX5 bernombor pendaftaran DAL590 ketika kali terakhir dilihat.

Hebahan berkenaan turut meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Mohd Suhadi supaya menghubungi talian 018-4736012 bagi membantu usaha mengesannya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved