
SHAH ALAM, 24 JUN: Remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di hadapan Masjid Bandar Sri Putra, Bangi petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata mangsa berusia 16 tahun ditemukan di kawasan saliran di hadapan pintu pagar sebuah universiti swasta, kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 4.23 petang sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih dikerahkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.
Katanya, berdasarkan maklumat saksi, mangsa dikatakan berjalan bersama rakannya selepas pulang dari sekolah ketika kejadian berlaku.
“Mangsa dikatakan berjalan bersama rakan selepas pulang dari sekolah dan terjatuh ke dalam longkang berhadapan Masjid Bandar Sri Putra,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ashrul Riezal, rakan mangsa kemudian cuba mendapatkan bantuan dengan memanggil beberapa individu lain bagi menyelamatkan mangsa.
Bagaimanapun, usaha menyelamat tidak berjaya sebelum orang awam menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan pihak berkuasa.
Pasukan bomba seterusnya menjalankan operasi pencarian di kawasan terbabit sejurus tiba di lokasi.
Mangsa ditemukan di kawasan saliran berhampiran sebuah universiti swasta yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat dia dilaporkan terjatuh.






