
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 28 tahun dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret kerana menyimpan kereta curi.
Mohd Hafieszul Mohd Adnin mengaku bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin membabitkan kesalahan yang dilakukan pada jam 8 malam, 19 September lalu di kawasan stesen minyak Shell di Jalan Tuaran Bypass, Manggatal.
Kesalahan mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa polis menahan Hafieszul ketika dia berada di tempat duduk pemandu sebuah kereta Proton Saga MC2 berwarna perak dengan enjin masih hidup. Kereta itu sebelum ini dilaporkan hilang.
Dia turut menyerahkan satu set kunci dan alat kawalan jauh kenderaan berkenaan kepada polis.
Ketika merayu hukuman diringankan, peguam yang bertugas Lim Ming Zoong @ Lawrence berkata Hafieszul sudah berkahwin, mempunyai seorang anak dan menyesali perbuatannya. Bagaimanapun pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pengajaran dikenakan terhadap tertuduh.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap.
Hafieszul sebelum ini pernah dipenjara enam bulan oleh mahkamah sama pada 22 April lalu kerana menyimpan motosikal curi.
Sementara itu seorang lelaki berusia 35 tahun didenda RM1,400 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret kerana bertaruh bola sepak. Shah Rizal Sazry Induk mengaku bersalah atas pertuduhan itu yang dilakukan pada jam 10 malam, 25 Jun lalu di hadapan premis The Myth, Kota Kinabalu Towering Industry Centre, Penampang.
Kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1953 itu memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa polis menahan Shah Rizal dalam satu serbuan selepas mendapati dia sedang membuat pertaruhan bola sepak.
Sebuah telefon bimbit Oppo A5 berwarna perak yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pertaruhan itu turut dirampas sebagai bahan bukti.
Pegawai pendakwa Inspektor Yusdi Basri mengendalikan pendakwaan.






![[VIDEO] Lelaki terbabit ritual agama bukan Islam ditahan bersama ibu](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-13-at-16.50.06-1024x739.jpeg)