Lelaki Dipenjara 9 Bulan Selepas Mengaku Pijak al-Quran Di Bulan Ramadan

LocalPolitics
19 Mar 2026 • 3:11 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap individu dinasihatkan agar sentiasa menghormati antara satu sama lain tanpa mengira perbezaan agama dan budaya.

Namun, ada segelintir dilihat berani dengan melakukan perkara sensitif yang salah di sisi undang-undang.

Lebih membimbangkan apabila perbuatan itu di muat naik di media sosial untuk tontonan umum.

Lelaki Dihukum Penjara 9 Bulan Gara-Gara Pijak al-Quran

Terbaharu, seorang lelaki di Melaka dijatuhi hukuman penjara 9 bulan oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah gara-gara tindakan biadab memijak al-Quran di bulan Ramadan

Keputusan itu dibuat oleh Majistret Dr Teoh Shu Yee selepas tertuduh yang dikenali sebagai Amir Abdul Malik mengaku bersalah atas pertuduhan mencemari agama Islam dengan memuat naik rakaman dirinya memijak kitab suci itu dengan niat menghina agama di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah pada 28 Februari lalu.

Amir yang merupakan seorang penganggur didakwa mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan. Jika didapati bersalah, hukuman maksimum penjara dua tahun akan dikenakan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh diwakili peguam Ishak Kari dari Yayasan Bantuan Guaman Kerajaan manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah dan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd Abdullah Wan Radzlad.

Perbuatan Pijak al-Quran Sentuh Sensitiviti Umat Islam

Menurut Teoh dalam penghakimannya, perbuatan tertuduh adalah serius kerana menyentuh sensitiviti umat Islam malah berpotensi untuk menjejaskan keharmonian negara.

“Penghinaan terhadap mana-mana agama, sama ada Islam atau bukan Islam, berpotensi membawa kerosakan yang jauh lebih besar berbanding kecederaan fizikal kerana ia menyentuh maruah serta hak eksklusif yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Tambah Teoh lagi, apa yang lebih membimbangkan, perbuatan itu dilakukan ketika dalam bulan Ramadan yang sepatutnya dijadikan sebagai bulan untuk meningkatkan keimanan dan amalan kebaikan.

Pengarah Pendakwaan Mohon Hukuman Setimpal

Sebelum itu, Nahra memohon hukuman setimpal dijatuhkan terhadap tertuduh memandangkan perbuatan yang dilakukan adalah serius apatah lagi tertuduh seorang Muslim yang menghina agama sendiri.

Walau bagaimanapun, Ishak memohon mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 15 Mac lalu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara dari tarikh yang sama.

Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Disyaki Pijak Al-Quran Sudah Ditahan Polis, UMPSA Jalankan Siasatan