
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 47 tahun didenda RM100 atau penjara dua minggu dan dipenjara lima minggu oleh Mahkamah Majistret pada Isnin kerana memiliki kabel tembaga yang disyaki dicuri.
Mohd Norhadi @ Bobby Saidi mengaku bersalah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus kerana memiliki tiga beg berisi kabel tembaga kira-kira jam 9 pagi pada 1 September lalu di tepi jalan Lorong Nilam, Tanjung Aru.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil, Bab 80, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah dimaklumkan pihak pendakwaan bahawa pada hari kejadian, polis melihat tiga lelaki mencurigakan bersama sebuah Perodua Axia berwarna kuning ketika menjalankan operasi pencegahan jenayah di lokasi berkenaan.
Ketika pasukan polis menghampiri, dua lelaki melarikan diri ke kawasan semak manakala Norhadi yang memandu kereta berkenaan ditahan.
Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu dengan disaksikan Norhadi, polis menemui sebuah beg plastik hitam, guni putih dan beg pakaian hitam berisi kabel tembaga di dalam ruang but belakang.
Norhadi mengakui beliau adalah pemandu kenderaan itu dan kereta berkenaan milik menantunya namun menafikan terbabit dalam kegiatan membakar kabel elektrik.
Bagaimanapun beliau gagal memberikan penjelasan munasabah mengenai bagaimana memperoleh kabel tembaga berkenaan.
Dalam kes berasingan seorang wanita berusia 31 tahun didenda RM1,000 atau penjara dua bulan kerana berjudi di tempat awam. Nooraini Abd Hamza mengaku bersalah berjudi secara dalam talian kira-kira jam 2 petang pada 16 Ogos lalu di hadapan sebuah premis bersebelahan kedai runcit di Kampung Sembulan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Mahkamah dimaklumkan bahawa polis menahan Nooraini dan merampas peralatan yang digunakan untuk perjudian dalam talian manakala laporan pakar perjudian mengesahkan peralatan berkenaan digunakan bagi aktiviti itu.
Sementara itu seorang lelaki berusia 38 tahun didenda RM100 atau penjara tujuh hari kerana memasuki sebuah kenderaan tanpa alasan munasabah.
Jemring Oreng mengaku bersalah memasuki sebuah Hyundai EF dengan sengaja kira-kira jam 12.30 tengah hari pada 30 Ogos lalu di tepi jalan di Sepanggar.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 17(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil yang memperuntukkan denda RM100 jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa polis menerima maklumat mengenai seorang lelaki mencurigakan berada di dalam kenderaan yang berkunci sebelum menemui Jemring berada di dalam kenderaan itu ketika tiba di lokasi.
Dia gagal memberikan alasan munasabah mengenai kehadirannya di dalam kenderaan berkenaan.
Timbalan Pendakwa Raya Akash Singh mengendalikan pendakwaan.






