
KLANG – Seorang guru taska didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak lelaki autistik, hujung bulan lalu.
Majistret Siti Zubaidah Mahat turut memerintahkan tertuduh, Lenah Abdul, 43, dipenjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda itu. Bagaimanapun, tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, ibu kepada lima anak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak lelaki autistik berusia tujuh tahun di sebuah taska di Taman Sentosa di sini, kira-kira pukul 10 pagi pada 28 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh memukul paha mangsa menggunakan penyangkut baju ketika memandikan kanak-kanak berkenaan.
Bapa mangsa kemudian tidak berpuas hati selepas melihat kesan lebam pada tubuh anaknya sebelum meminta penjelasan daripada tertuduh dan membuat laporan polis.
Peguam Adam Rosli dalam mitigasinya memaklumkan tertuduh yang merupakan ibu kepada lima anak termasuk seorang anak autistik, hanya berpendapatan RM1,700 sebulan.
Katanya, pada hari kejadian, mangsa mengeluarkan najis daripada lampin pakai buangnya sebelum mencalitkannya pada dinding taska sehingga kotor, selain bertindak agresif.
“Tertuduh perlu memantau tujuh kanak-kanak di bawah jagaannya dan pada hari kejadian keadaan menjadi di luar kawalannya sehingga dia bertindak seperti dalam pertuduhan.
“Dia juga telah menyerah diri kepada polis, mengakui kesalahan, memohon maaf dan insaf. Oleh itu, kami memohon hukuman denda,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Uzzair Rosman menegaskan tertuduh sebagai guru dan penjaga mempunyai tanggungjawab terhadap mangsa yang merupakan kanak-kanak autistik.
“Kegagalan mengawal kemarahan dan emosi menyebabkan kecederaan kepada mangsa. Justeru, hukuman setimpal wajar dikenakan sebagai pengajaran selain mengambil kira kepentingan awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pukul budak autistik guna ‘hanger’ , guru taska didenda RM800 appeared first on Kosmo Digital.






