Dua lelaki disyaki ‘kaki pecah rumah’ di tiga negeri ditahan

7 Sep 2026 • 4:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua lelaki disyaki ‘kaki pecah rumah’ di tiga negeri ditahan
Dua lelaki ditahan di Teluk Kemang minggu lalu selepas disyaki terlibat dalam 12 kes pecah rumah di tiga negeri. - Foto hiasan

PORT DICKSON - Dua lelaki, seorang daripadanya mempunyai 54 rekod jenayah lampau ditahan di Teluk Kemang di sini minggu lalu selepas disyaki terlibat dalam 12 kes pecah rumah di tiga negeri.

Suspek berusia 34 dan 24 tahun itu ditahan kira-kira jam 4 petang di sebuah premis hasil risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Ahmad Afiq Mohd Adnan berkata, suspek yang merupakan warga tempatan dipercayai terlibat dalam empat kes pecah rumah di Negeri Sembilan, tiga kes di Kedah dan lima kes di Perak.

“Suspek berusia 34 tahun itu mempunyai 54 rekod jenayah lampau selain mempunyai dua kes sebagai orang dikehendaki polis.

“Suspek kedua pula mempunyai 11 rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, polis turut merampas pelbagai barangan kes antaranya pelbagai mata wang asing, sebuah komputer riba jenama HP, dadah dengan anggaran berat 6.8 gram serta sebuah kenderaan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek kini direman sehingga 9 September bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved