
RANAU: Seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun ditahan manakala 21 botol berisi air disyaki ketum dirampas dalam serbuan polis di sebuah kampung pada malam Khamis.
Operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau itu dijalankan susulan risikan berterusan serta maklumat daripada penduduk setempat.
Ketua Polis Daerah Ranau Supt Mursalin bin Mahmud berkata suspek ditahan kira-kira jam 9.30 malam ketika operasi dijalankan di sebuah kampung di daerah berkenaan.
“Polis menemukan 21 botol air mineral yang setiap satunya mengandungi kira-kira 1.5 liter air disyaki ketum dan disimpan di dalam sebuah bekas berwarna merah.
“Rampasan itu menjadikan jumlah keseluruhan air disyaki ketum yang dirampas sebanyak kira-kira 31.5 liter,” katanya.
Mursalin berkata operasi terbabit mencerminkan kepentingan kerjasama antara polis dengan penduduk setempat dalam usaha membanteras kegiatan haram termasuk pemprosesan dan pengedaran ketum.
Menurutnya kerjasama erat antara pihak berkuasa dengan masyarakat membolehkan tindakan pencegahan diambil dengan lebih pantas, sekali gus membantu mengekalkan keselamatan awam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Individu yang disabitkan kesalahan di bawah peruntukan itu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mursalin turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam sebarang kegiatan yang boleh mengakibatkan tindakan undang-undang.






