
BEAUFORT: Polis menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam cubaan mencuri kabel milik Sabah Electricity (SE) di tapak projek Jalan Pan Borneo berhadapan Sekolah Menengah St Patrick, Membakut.
Ketua Polis Daerah Beaufort Supt Champin Piuh berkata kejadian itu dikesan selepas pekerja yang menjalankan rondaan keselamatan menemui aktiviti mencurigakan di lokasi berkenaan.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan sebuah motosikal bersama beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah tersebut.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati terdapat kesan potongan pada kabel SE, namun kabel tersebut gagal dibawa lari selepas suspek dipercayai melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pekerja di lokasi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, hasil siasatan yang dijalankan membawa kepada penahanan suspek di Kampung Limpayau, Membakut bagi membantu siasatan lanjut.
Polis turut merampas sebuah motosikal dan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan dalam cubaan mencuri kabel berkenaan.
Champin berkata kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan.




