TAIPING – Polis menumpaskan kegiatan satu sindiket curi kabel selepas menahan lima lelaki dalam satu operasi di sini pada Selasa.
Tangkapan kira-kira jam 7.30 pagi itu dilakukan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping apabila terserempak dengan kumpulan suspek dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Abd Malek Ismail berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek dipercayai sedang menjalankan kegiatan mencuri kabel milik Telekom Malaysia.
“Bertindak atas maklumat dan pemerhatian di lokasi, polis berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 39 tahun.
“Polis turut merampas sebuah lori dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memotong serta mengangkut kabel,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, semasa serbuan dilakukan, dua suspek didapati sedang memotong kabel, manakala tiga lagi sedang mengangkat kabel tersebut ke dalam lori.
“Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dalam satu sindiket yang aktif menjalankan kegiatan mencuri kabel di sekitar daerah Taiping.
“Modus operandi kumpulan ini adalah menyasarkan kabel bawah tanah milik Telekom Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, pihak polis kini giat mengesan beberapa lagi ahli kumpulan yang masih bebas bagi membantu siasatan lanjut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu mengekang jenayah serta memastikan kesejahteraan dan ketenteraman awam," katanya.






