KUANTAN - Pemandu sebuah kenderaan pacuan empat roda ditahan kerana disyaki melakukan pembelian minyak diesel menggunakan kad tunai atas nama pemilik kenderaan lain di sebuah stesen minyak di Bukit Kuantan di sini pada Sabtu.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang memaklumkan, kenderaan jenis Toyota Hilux itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika anggota penguat kuasa menjalankan pemantauan Ops Tiris 4.0 di sekitar Kuantan.
Menurutnya, pasukan operasi kemudian menjejaki kenderaan terbabit sehingga ke sebuah stesen minyak.
"Hasil pemeriksaan mendapati pemandunya telah membuat pembelian diesel dan mengisinya ke dalam satu tong dram dan beberapa tong minyak di bahagian belakang kenderaan tersebut.
"Pemeriksaan dijalankan mendapati pemilik kenderaan berkenaan membuat pembelian minyak diesel menggunakan kad tunai pemilik kenderaan lain," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
**media[3531446]**
KPDN berkata, pemandu berkenaan ditahan kerana disyaki memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak untuk melakukan kesalahan.
Susulan itu, KPDN Pahang melakukan sitaan ke atas kenderaan, tong dram, tong minyak, kia-kira 250 liter diesel, kad tunai dan salinan dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.
"Anggaran nilai rampasan keseluruhan lebih RM71,000.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.
**media[3531447]**
Menurut KPDN Pahang, pihaknya akan terus memperhebat operasi dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam penyelewengan barang kawalan demi melindungi hak rakyat serta memastikan subsidi kerajaan sampai kepada golongan yang layak.






