SHAH ALAM – Taktik salah guna kad pembelian diesel bagi mendapatkan bekalan bahan api bersubsidi terbongkar selepas sebuah lori ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Batu Tiga Lama di sini pada Isnin.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Hanizam Kechek berkata, lori terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika sedang membuat pengisian diesel kira-kira jam 1 tengah hari hasil rondaan anggota penguat kuasa.
Beliau berkata, lori itu dikendalikan dua lelaki warga tempatan berusia sekitar 45 tahun yang dipercayai sebagai pemandu dan kelindan.
"Susulan pemerhatian terhadap aktiviti pengisian mencurigakan itu, anggota bertugas bertindak menghentikan pengisian sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan ke atas lori terbabit.
"Pemeriksaan mendapati badan lori membawa enam unit Intermediate Container Tank (IBC) berkapasiti 1,000 liter setiap satu dan beberapa daripadanya berisi bahan api disyaki diesel, anggaran keseluruhan diesel yang dipercayai cuba diseleweng melebihi 2,000 liter," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemui beberapa keping kad pembelian diesel yang dipercayai digunakan untuk transaksi pembelian bahan api bersubsidi.
"Salah satu daripada kad pembelian diesel berkenaan mempunyai nombor pengenalan berbeza dengan nombor pendaftaran lori yang ditahan.
"Penemuan itu memberi petunjuk awal berhubung perlakuan disyaki salah guna kemudahan kad pembelian diesel,” katanya.
Mohd Hanizam berkata, kedua-dua individu yang ditahan gagal mengemukakan dokumen sah berkaitan pemilikan dan pengangkutan barang kawalan berjadual jenis diesel.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
"Kedua-dua suspek ditahan bagi tujuan rakaman percakapan manakala lori serta bahan api disita dan disimpan di stor penyimpanan ekshibit.
"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM120,000 manakala nilai subsidi negara yang berjaya diselamatkan dalam kes itu dianggarkan RM10,000," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 2,233 pemeriksaan dilaksanakan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Selangor sejak 16 Mac lalu hingga 19 Mei.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 52 kes berjaya dihasilkan dengan nilai sitaan keseluruhan mencecah RM1.2 juta.
"KPDN Selangor tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 termasuk salah guna kemudahan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS)," katanya.






