
JERANTUT - Seorang lelaki berusia 69 tahun kerugian RM113,550 selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai penyiasat polis.
Menurut laporan, sindiket berkenaan mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Nor Azman Yusof berkata, mangsa dipercayai melakukan kira-kira 20 transaksi pengeluaran wang tunai melalui mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di dua cawangan bank di Jerantut dan Bandar Jengka, antara 11 September hingga 3 Oktober lalu.
Menurutnya, semua pengeluaran berkenaan dibuat mengikut arahan suspek.
“Mangsa yang ketakutan tidak memaklumkan perkara itu kepada anaknya.
“Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa melakukan kira-kira 20 transaksi pengeluaran wang melalui ATM di dua cawangan bank di Jerantut dan Bandar Jengka dalam tempoh berkenaan, membabitkan jumlah keseluruhan RM113,550,” katanya.
Nor Azman berkata, pihak polis menerima laporan pada Sabtu selepas mangsa menyedari dirinya telah ditipu apabila anaknya mengetahui mengenai kejadian itu.
Katanya, kejadian bermula apabila mangsa menerima panggilan daripada individu tidak dikenali yang mendakwa dirinya pegawai penyiasat polis sebelum mangsa dituduh terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.
Suspek kemudian dipercayai mengarahkan mangsa mengeluarkan wang daripada akaun bank miliknya.
Sehubungan itu, Nor Azman menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila menerima panggilan daripada individu tidak dikenali serta tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan atau ugutan yang dibuat menerusi telefon.
“Orang ramai diingatkan bahawa pihak polis tidak akan meminta wang, nombor PIN, kata laluan atau maklumat perbankan melalui telefon.
“Sekiranya menerima panggilan mencurigakan, jangan panik atau melakukan sebarang transaksi. Sebaliknya, segera dapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa atau pergi ke balai polis berhampiran,” katanya. - Getaran, 5 Oktober 2026






