Sindiket judi online tumpas, lebih 200 warga asing ditahan

4 Oct 2026 • 4:22 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Sindiket judi online tumpas, lebih 200 warga asing ditahan

MANILA – Pihak berkuasa Filipina telah menahan lebih 200 pekerja asing yang ‘sebahagian besarnya warga China’ dalam tindakan tegas negara itu terhadap pengendali perjudian dalam talian haram tahun ini.

Menurut kenyataan Biro Imigresen Filipina, operasi serbuan besar-besaran itu dilaksanakan secara berasingan oleh pihak tentera bersama agensi penguatkuasaan undang-undang di dua lokasi berbeza di wilayah selatan Mindanao.

Di lokasi pertama, pihak berkuasa menahan 110 warga China, dua warga Kemboja dan seorang penduduk Hong Kong. 

Manakala di lokasi kedua, seramai 131 warga asing turut ditahan yang terdiri daripada majoriti warga China serta warga Malaysia, Indonesia dan Myanmar.

Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah pelbagai peralatan komputer, telefon bimbit, komputer riba serta kad SIM dalam jumlah yang besar.

Ketua Imigresen Filipina, Joel Viado berkata, kerajaan kini sedang menyiasat kemungkinan wujudnya kesalahan berkaitan pemerdagangan manusia membabitkan sebahagian daripada mereka yang ditahan, manakala selebihnya akan diusir keluar dari negara itu.

“Kami akan terus menguatkuasakan undang-undang imigresen terhadap warga asing yang melanggar syarat tinggal mereka dan memastikan Filipina tidak dijadikan tapak bagi aktiviti haram,” katanya.

Beliau turut menyifatkan operasi berkenaan sebagai pembanterasan terbesar terhadap Pengendali Perjudian Dalam Talian Filipina (POGO) bagi tahun 2026.

Untuk rekod, kerajaan Manila telah mengharamkan penstrukturan POGO pada tahun 2024 selepas mendapati sektor itu kerap digunakan oleh sindiket jenayah terancang sebagai perlindungan bagi aktiviti pemerdagangan manusia, pembersihan wang haram, penipuan dalam talian, penculikan serta kes pembunuhan.

Setakat ini, Kedutaan China di Manila masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung penahanan warga negaranya. – AFP

The post Sindiket judi online tumpas, lebih 200 warga asing ditahan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved