Suami guru besar ditahan reman, disyaki intai murid perempuan di tandas sekolah

18 May 2026 • 2:59 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Seorang lelaki warga emas ditahan reman bagi membantu siasatan kes mengintai murid perempuan di sekolah rendah di Gua Musang.

Seorang lelaki warga emas yang juga suami kepada seorang guru besar di sebuah sekolah rendah Gua Musang ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengintai murid perempuan di kawasan tandas sekolah, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo mengesahkan lelaki berusia 60 tahun itu direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Memetik laporan Utusan, sumber yang enggan dikenali mendakwa suspek kerap dilihat berada dalam keadaan mencurigakan berhampiran tandas murid perempuan sebelum tindakannya disedari beberapa orang murid.

Baca juga:

Menurut sumber, kejadian itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan murid dan ibu bapa mengenai aspek keselamatan anak-anak di kawasan sekolah.

“Kejadian pertama dilaporkan berlaku kira-kira pukul 2.15 petang pada 7 April lalu di kantin sekolah. Empat murid perempuan mendakwa terdengar jeritan seorang perempuan dari dalam tandas murid perempuan.

“Mereka turut memaklumkan ternampak dua murid perempuan tahun dua berada di dalam tandas sebelum melihat seorang lelaki keluar dari kawasan tandas tersebut,” katanya.

Sumber sama turut mendakwa lelaki terbabit beberapa kali dilihat berada di kawasan surau sekolah pada waktu petang ketika sesi kelas Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) berlangsung pada awal Mei lalu.

Katanya, suspek dipercayai mengintai murid perempuan yang sedang mengambil air sembahyang.

“Susulan kejadian itu, laporan polis telah dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya lagi.

The post Suami guru besar ditahan reman, disyaki intai murid perempuan di tandas sekolah appeared first on The Reporter.