Lelaki Ditahan Selepas Video Lama ‘Wheelie’ Bawa Isteri Dan Anak Kembali Tular

23 Jul 2026 • 8:46 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

Image from: Lelaki Ditahan Selepas Video Lama ‘Wheelie’ Bawa Isteri Dan Anak Kembali Tular

ALOR SETAR – Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan polis selepas rakaman video lama memaparkan aksinya melakukan ‘wheelie’ sambil membawa isteri dan anak perempuan di atas motosikal kembali tular di media sosial.

Penahanan suspek dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar kira-kira jam 3.40 petang semalam bersama sebuah motosikal Honda EX5 Dream 110 yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Video Tular Bawa Kepada Penahanan

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, pihaknya mengesan rakaman video berdurasi 17 saat yang dimuat naik menerusi satu akaun Facebook kira-kira jam 10 pagi sebelum membuka kertas siasatan.

“Susulan itu, satu laporan polis dibuat pada jam 12.41 tengah hari dan hasil siasatan berjaya mengenal pasti penunggang motosikal terbabit sebelum dia ditahan beberapa jam kemudian.

“Rakaman itu sebenarnya memaparkan kejadian yang berlaku pada 28 Mac lalu, kira-kira jam 12.30 tengah malam ketika suspek dalam perjalanan dari Kampung Hutan Kandis ke Jalan Pegawai untuk makan malam bersama keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Bawa Isteri Dan Anak Ketika Lakukan ‘Wheelie’

Beliau berkata, ketika melalui Jalan Lebuhraya Darul Aman berhampiran Dataran Bandar Alor Setar, suspek bertindak mengangkat tayar hadapan motosikal sambil membawa isterinya yang berusia 25 tahun di bahagian belakang serta anak perempuan mereka yang berusia empat tahun di bahagian hadapan.

Katanya, tindakan berbahaya itu bukan sahaja mengancam keselamatan suspek dan ahli keluarganya, malah boleh menyebabkan kemalangan kepada pengguna jalan raya lain.

Tiada Lesen, Motosikal Turut Disita

Hasil semakan turut mendapati suspek tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Susulan itu, polis turut menyita motosikal yang digunakan dalam kejadian bagi membantu siasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Orang ramai turut diingatkan supaya tidak melakukan aksi berbahaya di jalan raya kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah boleh mengundang risiko kepada pengguna jalan raya yang lain.

The post Lelaki Ditahan Selepas Video Lama ‘Wheelie’ Bawa Isteri Dan Anak Kembali Tular appeared first on The Malaysian Update.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved