
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 27 tahun ditemui maut kira-kira 2km dari lokasi sebuah Honda WR-V terbabas dan terjunam ke dalam longkang di Jalan Kawakaan pada Khamis.
Mangsa ditemui anggota bomba kira-kira jam 10.28 pagi Jumaat ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan di dalam longkang yang bersambung dengan anak sungai.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berkata kenderaan itu terbabit dalam kemalangan sendiri kira-kira jam 5 petang Khamis. Pemeriksaan awal mendapati tiada mangsa di dalam atau sekitar kenderaan berkenaan.
Operasi SAR dihentikan sementara pada jam 8.10 malam atas arahan polis dan akan disambung semula sekiranya terdapat petunjuk baharu.
JBPM berkata Pusat Gerakan Operasi Negeri menghubungi polis Inanam pada jam 7 pagi Jumaat dan dimaklumkan bahawa tiada maklumat baharu berhubung kes itu pada ketika itu.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Lintas menyambung semula operasi SAR pada jam 8.45 pagi dengan menjalankan pencarian di permukaan air di dalam longkang yang bersambung dengan anak sungai bermula jam 9.21 pagi.
Mangsa kemudian ditemui kira-kira 2km dari lokasi kenderaan itu terjunam ke dalam longkang berkenaan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang melibatkan 28 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas serta Penampang itu tamat pada tengah hari selepas kawasan berkenaan diperiksa dan tiada bahaya lain ditemui.






