
SEBERANG PERAI – Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, di sini hari ini atas lima pertuduhan termasuk merakam empat wanita ketika sedang membuang air kecil dan memiliki video lucah, bulan lalu.
Tertuduh, Muhammad Mukhris Sulaiman, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Razali.
Mengikut empat pertuduhan pertama, tertuduh yang merupakan pekerja kilang didakwa mengganggu kesantunan dengan cara merakam perbuatan empat wanita yang sedang membuang air kecil di dalam tandas.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah kilang di Bukit Minyak, di sini pada pukul 9.30 pagi, 24 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kelima, tertuduh didakwa memiliki beberapa video lucah kira-kira pukul 9.30 pagi pada tarikh sama di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam V. Sivakumar.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan keseluruhan sebanyak RM15,000 dan menetapkan 19 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes. -KOSMO! ONLINE
The post Lelaki dituduh rakam empat wanita buang air kecil appeared first on Kosmo Online.






