Lelaki Filipina cabul kanak-kanak perempuan dipenjara enam tahun, satu sebatan 

19 Nov 2026 • 5:16 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Lelaki Filipina cabul kanak-kanak perempuan dipenjara enam tahun, satu sebatan 

Kota Kinabalu: Seorang lelaki warga Filipina berusia 51 tahun dipenjara enam tahun dan dikenakan satu sebatan kerana melakukan gangguan seksual secara fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun enam bulan.

Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Hayer Abdullah yang mengekalkan pengakuan bersalahnya ketika kes disebut untuk fakta kes dan hukuman pada Rabu.

Mahkamah turut memerintahkan Hayer menjalani kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya serta dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Mengikut fakta kes, Hayer melakukan perbuatan itu dengan menyentuh kemaluan mangsa pada kira-kira jam 6 petang, 25 Jun lalu di tangga sebuah bangunan di Inanam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan meringankan hukuman, peguam Jasamine Tan yang mewakili tertuduh bersama Lim Ming Zoong @ Lawrence memohon hukuman lebih ringan dan bersesuaian serta tidak dikenakan sebatan atas faktor usia dan keadaan kesihatannya.

Jasamine berkata tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau, mengaku bersalah pada peringkat awal, memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa serta menunjukkan kekesalan yang tulus.

Beliau turut memaklumkan Hayer mengalami sakit belakang sehingga menjejaskan keupayaannya untuk bekerja.

Katanya tertuduh telah berada dalam tahanan sejak 27 Julai lalu iaitu kira-kira tiga bulan 22 hari.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan memberi kesan pencegahan dengan mengambil kira beberapa faktor pemberat.

Nurul berkata tertuduh mengambil kesempatan terhadap usia muda dan keadaan mangsa yang mudah terdedah ketika kanak-kanak itu sedang menuruni tangga bersendirian untuk bermain bersama kakaknya.

“Hayer menarik mangsa dari belakang, memasukkan tangan kirinya ke dalam seluar mangsa dan menyentuh secara langsung bahagian sulit kanak-kanak itu.

“Perbuatan sedemikian mencabuli maruah diri serta kepolosan seorang kanak-kanak dan meninggalkan kesan psikologi berpanjangan terhadap mangsa serta keluarganya yang kini hidup dalam ketakutan susulan kejadian itu,” katanya dalam hujahan.

Nurul berkata ketika mangsa cuba menjerit meminta pertolongan, tertuduh bertindak menutup mulutnya dengan kuat sebelum melarikan diri.

Menurutnya tindakan itu menunjukkan tertuduh bertindak secara sedar untuk membungkam mangsa bagi mengelak daripada dipertanggungjawabkan.

Pendakwaan turut memaklumkan kejadian berlaku di kawasan tangga terbuka sebuah bangunan komersial dan kediaman kira-kira jam 6 petang.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved