
KUALA LUMPUR – Lelaki warga asing sanggup menjadi ‘runner’ sindiket dadah dengan hanya kadar upah RM1,000 untuk menghantar bahan terlarang sebelum kegiatan mereka terbongkar menerusi Op Plekoptera di sekitar Lembah Klang.
Operasi yang dilancarkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 23 September lalu itu membawa kepada penahanan lima suspek warga asing berusia antara 21 hingga 43 tahun menerusi empat siri serbuan.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil operasi tersebut, polis merampas dadah jenis ketamin seberat 38.33 kilogram (kg) dan bunga ganja seberat 38 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.92 juta.
“Siasatan mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak Mac lalu dan menggunakan taktik menyembunyikan dadah di dalam beg yang telah diubah suai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Sindiket berkenaan turut dipercayai menggunakan khidmat ‘runner’ dalam kalangan warga India yang berada di Malaysia untuk membawa bahan terlarang berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kesemua lima suspek telah dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 6 Oktober lalu.
Dalam operasi berasingan, Hussein berkata, pihaknya turut melancarkan Op Tongkol pada 1 Oktober lalu yang membawa kepada penahanan tiga lelaki tempatan berusia antara 35 hingga 49 tahun di sekitar Selangor.
“Sindiket itu dipercayai aktif sejak Julai lalu dan menggunakan kereta untuk membawa bekalan dadah sebelum menjadikan kawasan parkir pusat beli-belah sekitar Lembah Klang sebagai lokasi penyerahan kepada pihak penerima.
“Polis merampas dadah jenis methamphetamine seberat 111.74 kilogram dan heroin seberat 440 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5.6 juta,” ujarnya.
Beliau berkata, ketiga-tiga suspek direman selama 14 hari hingga 15 Oktober ini bagi membantu siasatan.
“Semakan lanjut mendapati suspek ketiga mempunyai satu rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.
“Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
The post Upah RM1,000 jadi ‘runner’, guna parkir beli-belah edar dadah appeared first on Kosmo Online.






