Konon bawa ‘vape’, jet peribadi disewa RM210,000 oleh dalang sindiket Filipina 

9 Oct 2026 • 11:55 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Perkhidmatan jet peribadi dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dipercayai disalahgunakan sindiket dadah antarabangsa bagi menyeludup bahan terlarang dari Laos ke Manila, Filipina.Image from: Konon bawa ‘vape’, jet peribadi disewa RM210,000 oleh dalang sindiket Filipina 

Foto: Utusan Malaysia

Memetik laporan Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan awal mendapati penerbangan itu ditempah seorang warga Filipina yang dipercayai menjadi dalang sindiket dengan bayaran sebanyak AS$49,500 (RM210,000).

Menurut beliau, tempahan berkenaan dibuat pada 23 September lalu, kira-kira seminggu sebelum kejadian, dengan tujuan asal yang dinyatakan dalam manifes penerbangan adalah untuk membawa barangan berupa ‘vape’ dari Laos ke Manila.

“Bagaimanapun, kita percaya perkhidmatan itu telah digunakan sindiket bagi tujuan menyeludup dadah dari Laos ke Filipina.
“Kita masih menyiasat sama ada kegiatan itu hanya berlaku antara Laos dan Filipina atau terdapat juga cubaan membawa dadah berkenaan ke Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Kontinjen Polis Kuala Lumpur.

Susulan itu, polis telah menyalurkan maklumat kepada Pihak Berkuasa Dadah Filipina (PDEA) bagi membantu mengesan individu yang membuat tempahan penerbangan tersebut dan dipercayai masih berada di Filipina.

Dalam masa sama, siasatan turut diperluaskan bagi menentukan sama ada syarikat penerbangan terbabit mempunyai hubungan dengan sindiket atau sekadar menjadi mangsa penyalahgunaan perkhidmatan.

Image from: Konon bawa ‘vape’, jet peribadi disewa RM210,000 oleh dalang sindiket Filipina 

Foto: Berita Harian

“Kita mempunyai beberapa butiran berkaitan individu yang membuat tempahan dan kita akan mengambil tindakan lanjut mengikut prosedur antarabangsa kerana ia membabitkan beberapa negara.
“Setakat ini, apa yang boleh saya sahkan, dadah itu bukan dari Malaysia, ia dari Laos untuk ke Filipina. Kita percaya laluan itu adalah dari kawasan segi tiga emas ke negara destinasi,” jelasnya.

Terdahulu, empat individu termasuk seorang juruterbang warga Malaysia yang juga pemilik pesawat dilaporkan ditahan bagi membantu siasatan berhubung cubaan menyeludup 521 kilogram (kg) syabu dari Laos ke Filipina pada 1 Oktober lalu.

Mereka terdiri daripada juruterbang berusia 49 tahun, pembantu juruterbang warga Singapura berusia 47 tahun serta dua wanita rakyat Malaysia, masing-masing seorang doktor berusia 37 tahun dan jururawat berusia 33 tahun.

Sumber: Utusan Malaysia (Nuraina Hanis Abd. Halim)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved