
KAJANG – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an ditemukan meninggal dunia di dalam sebuah kereta Perodua Axia yang diletakkan di tepi Jalan Impian Mahkota 1, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar pukul 11.29 malam.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu kenderaan berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati enjin kenderaan tidak dihidupkan dan pintu kereta berkunci dari dalam.
“Pihak bomba kemudian membantu membuka pintu kenderaan sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Kajang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, mangsa dilaporkan tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarganya sejak 20 Oktober lalu.
Setakat ini, katanya, siasatan awal tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, manakala bedah siasat akan dilakukan untuk menentukan punca kematian,” ujarnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Insp. Shisheewady Ruzani di talian 016-856 5670 bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki gagal dihubungi keluarga ditemukan maut dalam kereta appeared first on Kosmo Online.






