
TEMERLOH: Seorang lelaki dipercayai tersesat dalam Hutan Simpan Sementeh, Lanchang di sini selepas keluar mencari lembu yang hilang, dengan kali terakhir menghubungi anaknya memaklumkan dia letih.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, pihaknya menerima maklumat tentang kehilangan mangsa, Muhamad Salihan Samsudin, 50, daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pukul 10.39 pagi hari ini.
“Berdasarkan maklumat diterima, mangsa dipercayai hilang di Hutan Simpan Sementeh ketika keluar mencari lembu. Kehilangan disedari isterinya kira-kira pukul 12.30 tengah malam semalam selepas mendapati suaminya tidak berada di rumah,” katanya di sini hari ini.
Menurut Mohd. Salahuddin, pada pukul 8.50 pagi semalam, anak mangsa yang berada di Putrajaya menerima panggilan daripada bapanya yang memaklumkan berada di hutan dalam keadaan letih dan suaranya tidak bermaya.
“Bagaimanapun, apabila isteri mangsa cuba menghubunginya selepas itu, panggilan tidak dijawab Berikutan itu, keluarga mengesyaki mangsa tersesat di Hutan Sementeh dan membuat laporan polis pada hari ini untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, motosikal milik mangsa kemudian ditemui rakan-rakannya di kawasan jalan pinggir Hutan Kampung Sementeh ketika mereka menjalankan pencarian awal.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). Operasi masih dijalankan bagi mengesan mangsa di kawasan hutan yang dipercayai menjadi lokasi terakhir mangsa berada,” katanya. – UTUSAN
The post Lelaki hilang ketika cari lembu dalam hutan appeared first on Utusan Malaysia.



