
JELEBU – Seorang lelaki warga Indonesia ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan menceroboh kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Triang, di sini secara haram, kelmarin.
Pengarah Perhutanan Negeri Sembilan, Mohd. Yussainy Md. Yusop berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, empat lelaki warga asing berusia antara 45 hingga 50 tahun sedang melakukan kerja-kerja pencerobohan di lokasi terbabit.
“Bagaimanapun, berlaku pergelutan antara suspek dan anggota penguat kuasa sebelum tiga daripada mereka berjaya melarikan diri, manakala seorang lelaki warga asing berjaya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke balai polis berhampiran sebelum mahkamah membenarkan tahanan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Katanya, kawasan hutan tersebut telah diceroboh dan ditanam dengan kelapa sawit sejak 27 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki Indonesia ceroboh Hutan Simpan Kekal Triang appeared first on Kosmo Digital.






