
BELURAN: Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan rentung dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dua tingkat di Kampung Bayu Permai, di sini, pagi Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Baha Sudirman, 49, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Balai Bomba danPenyelamat (BBP) Beluran, Nur Azlan Shah Jamalludin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.40 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari BBP Beluran dikejarkan ke lokasi.
“Bomba tiba pada jam 10.28 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh 18 kilometer.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya.
“Pasukan menjalankan operasi pemadaman menggunakan sebuah pam angkut dengan satu aliran sepanjang 200 kaki dan dua pancutan menggunakan sumber air terbuka dari kolam berhampiran,” katanya pada Khamis.
Menurutnya, operasi turut berdepan kesukaran apabila jentera tidak dapat menghampiri lokasi disebabkan ketiadaan laluan akses.
“Mangsa ditemui di lokasi kejadian dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi dikawal pada jam 12.30 tengah hari dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.40 tengah hari selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya di kawasan kejadian,” katanya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sabah Electricity (SE) turut berada di lokasi.




