Tiga warga China mengaku bersalah main judi di rumah perjudian terbuka

3 Jul 2026 • 10:19 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tiga warga China mengaku bersalah main judi di rumah perjudian terbuka
Ketiga-tiga tertuduh dibawa ke Kompleks Mahkamah Georgetown pada pagi Jumaat

GEORGE TOWN – Tiga lelaki warga China mengaku bersalah terhadap pertuduhan bermain judi di sebuah rumah perjudian terbuka di Gelugor pada minggu lalu.

Pengakuan tersebut dibuat oleh Gao Yue, 25, Ma Wenlyu, 32, dan Ma Yucheng, 27 selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Said di Mahkamah Majistret 3 di sini pada Jumaat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa secara bersama-sama bermain judi di sebuah premis di 1B-22, The Light Collection 1, Jalan Pantai Sinaran, Gelugor, kira-kira jam 4.30 petang pada 26 Jun lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Danial Amir Saad manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam K Mahendran dan Sharmila Mogan.

Ahmad Danial memohon hukuman setimpal terhadap kesemua tertuduh.

Dalam rayuannya, Sharmila memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan berikutan kesemua anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga selain merupakan kesalahan pertama mereka.

“Tertuduh pertama berusia 25 tahun dan menanggung ibu bapanya yang sudah tua di negara asal. Dia bekerja sebagai jurugambar dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

“Tertuduh kedua pula berusia 32 tahun dan sudah berkahwin. Dia perlu menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil dengan pendapatan RM2,500 sebagai pegawai logistik.

“Sementara tertuduh ketiga masih bujang dan berusia 27 tahun. Mempunyai dua tanggungan iaitu ibu dan bapa. Tertuduh bekerja sebagai jurugambar dengan pendapatan RM2,000 sebulan,” katanya.

Tambah Sharmila, kesemua tertuduh menyesal dengan perbuatan mereka dan tidak akan mengulanginya lagi.

“Saya percaya pengakuan bersalah mereka telah menjimatkan masa mahkamah dan kos.

“Oleh itu, mohon hukuman berbentuk denda sahaja,” katanya lagi.

Nadratun kemudiannya menjatuhkan denda RM5,000 bagi setiap tertuduh dan sekiranya gagal membayar, mereka boleh dikenakan penjara selama enam bulan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved