Lelaki jatuh sungai ketika cari durian ditemui lemas

1 Jan 2025 • 3:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Lelaki warga emas yang hilang selepas jatuh daripada perahu di Sungai Benatu, Punan Bah, Belaga ketika dalam perjalanan mencari durian di kebun Isnin lepas, ditemukan lemas. Foto JBPM

KAPIT - Lelaki warga emas yang hilang selepas jatuh daripada perahu di Sungai Benatu, Punan Bah, Belaga ketika dalam perjalanan mencari durian di kebun Isnin lepas, ditemukan lemas pada Rabu.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan mayat Micheal Sait Lanyau, 60, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dan penduduk kampung pada 9.10 pagi kira-kira 1 kilometer di hilir lokasi kejadian.

"Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi Isnin lepas mangsa telah jatuh daripada perahu dan dihanyutkan arus deras sungai.

Kejadian disaksikan beberapa penduduk kampung yang kemudian melakukan usaha pencarian namun gagal sebelum laporan polis dibuat untuk tindakan lanjut. - Bernama