Lelaki Kongsi 3 Sunnah Yang Bakal Pengantin Boleh Amalkan Semasa Majlis Akad Nikah [Video]

2 Jul 2025 • 4:23 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiap pasangan yang sedang hangat bercinta pasti teruja apabila menantikan saat untuk diijab kabulkan dengan insan yang dicintainya.

Oleh itu, bagi mempersiapkan diri bergelar raja sehari pelbagai persediaan yang dilakukan antaranya adalah memilih baju untuk akad nikah dan juga persandingan agar pengantin kelihatan cantik dan segak.

Dalam perasaan keterujaan ini bergelar raja sehari itu, jangan pula dilupakan adab-adab akad nikah mengikut sunnah.

Emcee profesional kongsi 3 sunnah dalam majlis nikah

Seperti baru-baru ini, seorang lelaki yang juga emcee profesional majlis perkahwinan yang dikenali sebagai Hidayat Sanusi berkongsi tiga sunnah yang pengantin boleh amalkan semasa majlis akad pernikahan.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, Hidayat berkata, majlis pernikahan hanya berlaku sekali dan gunakan peluang terbabit untuk mengikuti ajaran Nabi Muhammad SAW dalam pernikahan.

#1 Tatap dan pandang wajah kekasih

Menurutnya, sunnah pertama adalah menatap wajah kekasih sebelum menyempurnakan sesi ijab dan kabul.

Bagaimanapun, Hidayat menegaskan bahawa sunnah ini bukanlah dilakukan ketika majlis pernikahan, tetapi digalakkan ketika sesi taaruf iaitu sebelum bersetuju untuk hidup bersama-sama.

“Jadi bolehlah kita ambil kesempatan ketika pasangan kita iaitu pengantin perempuan berarak masuk terus ke pentas pelaminan utama kita jelinglah wajah pasangan kita dengan senyuman paling manis,” katanya.

Perkara sama turut dikongsikan pendakwah selebriti, Ustaz Adnin Roslan.

#2 Tunai solat sunat 2 rakaat selepas selesai sesi akad nikah

Berkongsi lanjut, Hidayat berkata sunnah kedua pula ialah pengantin disunatkan untuk menunaikan solat sunat dua rakaat usai selesainya sesi akad nikah.

Ujarnya, solat sunat dua rakaat ini bukan hanya disunatkan untuk pengantin lelaki sahaja, sebaliknya secara bersama-sama dengan pengantin perempuan.

“Sebenarnya ia disunatkan untuk bersama-sama, pengantin lelaki mengimamkan isteri tercinta pada waktu itu,” katanya.

#3 Letak tangan di ubun-ubun isteri dan berdoa

Menurutnya lagi, sunnah yang ketiga yang boleh diamalkan oleh pengantin lelaki selepas akad nikah adalah meletakkan tangan di ubun-ubun isteri sambil membaca doa.

Kata Hidayat, pengantin lelaki disunatkan untuk mendoakan agar rumah tangga yang dibina bersama isteri tercinta dijauhkan daripada malapetaka dan perkara-perkara yang tidak di mahukan.

Doanya adalah seperti berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ خَيْرَهَا وَخَيْرَ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْهِ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جَبَلْتَهَا عَلَيْه.

Maksudnya: Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu kebaikan isteriku ini yang Engkau telah ciptakan atasnya, dan aku berlindung dengan-Mu daripada keburukan yang Engkau telah ciptakan atasnya.

Hal ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Amr R.A, bahawa Nabi SAW bersabda: Apabila seseorang kamu berkahwin dengan seorang perempuan atau memiliki seorang khadam atau mendapat seekor haiwan yang menjadi tunggangan, maka hendaklah kamu pegang pada ubunnya seraya berdoa.

@emceehidayatsanusi Semestinya Akad pernikahan adalah sunnah yang agung sebagai umat manusia. Detik nan indah, semestinya akan lebih bermakna dengan sunnahnya. #emcee #emceemalaysia #wedding #foryoupage #emceehidayatsanusi #selawattaslimpengantin ♬ Kamu Dan Kenangan Piano – DNP