Lelaki liwat, bunuh bayi asuhan dihukum gantung smpai mati

20 Nov 2026 • 3:00 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lelaki liwat, bunuh bayi asuhan dihukum gantung smpai mati

PUTRAJAYA – Perbuatan kejam seorang penganggur membunuh anak lelaki asuhan isterinya berusia sembilan bulan selain turut melibatkan perbuatan liwat bayi itu, berbalas apabila dia dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah selepas membenarkan rayuan pendakwaan bagi Seksyen 302 Kanun Keseksaan untuk menggantikan hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan terhadap Mohamed Badruldin Mohamed, 41, kepada hukuman mati.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Ketika penghakiman dibacakan oleh Hakim Hayatul Akmal, mahkamah berpendapat hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap Mohamed Badruldin selaku responden adalah tidak memadai.

“​Kami merujuk laporan post-mortem (bedah siasat) yang jelas merekodkan kecederaan pada dubur mangsa dan lebam di bahagian kiri bibir yang konsisten dengan punca kematian iaitu smothering (lemas). Kecederaan yang meluas ini menggambarkan kekejaman dan kesakitan luar biasa yang terpaksa ditanggung oleh seorang bayi yang tidak berdosa.

“​Ahli kimia turut mengesahkan asid deoksiribonukleik (DNA) sperma responden ditemui pada calitan dubur dan rektum mangsa dan dapatan ini bahawa bayi lelaki itu telah diliwat oleh responden, iaitu orang yang diberi kepercayaan untuk memastikan keselamatannya,” kata Hakim itu.

Sementara itu berhubung dengan hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang hanya mengenakan hukuman penjara 30 tahun dan 13 sebatan, mahkamah mendapati Mahkamah Tinggi tidak memberikan justifikasi yang munasabah ketika menjatuhkan hukuman terhadap responden.

Ini kerana, Mahkamah Tinggi terlampau menitikberatkan faktor mitigasi responden, iaitu hasrat untuk kembali ke pangkuan masyarakat dan menjadi bapa yang lebih baik, sehingga mengetepikan keseriusan jenayah yang dilakukan terhadap seorang bayi yang tidak berdosa.

“Pada hemat kami, Hakim Mahkamah Tinggi terlepas pandang sifat keji kesalahan ini, undang-undang substantif dan magnitud jenayah tersebut. ​Kegagalan melihat keseriusan jenayah ini menuntut kami campur tangan bagi menegakkan keadilan substantif dan membetulkan ketidakadilan yang telah berlaku (to correct a miscarriage of justice). ​

“Perbuatan responden menunjukkan keganasan melampau, sangat kejam, tiada perikemanusiaan, dan pengabaian terang-terangan terhadap nyawa seorang bayi yang tidak berdaya, serta mengkhianati amanah keluarga. Mesej yang jelas mesti disampaikan kepada responden sendiri serta orang awam bahawa jenayah seperti ini amat dibenci dan hukuman terakhir yang setimpal ialah hukuman mati.

“​Oleh itu, rayuan perayu (pendakwaan) dibenarkan. Hukuman Hakim Mahkamah Tinggi diketepikan dan diganti dengan hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan membunuh mangsa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” kata Hakim Hayatul Akmal.

Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norsyhazwani Ishak manakala Mohamed Badruldin diwakili peguam Datuk Mohtarudin Baki.

Pada 24 November tahun lalu, media melaporkan
Mohamed Badruldin dikenakan hukuman penjara penjara 30 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Lelaki itu dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.

Bagi kes meliwat, lelaki itu dihukum penjara 10 tahun dan satu sebatan manakala 30 tahun, 12 sebatan bagi kes membunuh bayi malang itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bermula tarikh tangkap iaitu pada 29 April 2021. – KOSMO! ONLINE

The post Lelaki liwat, bunuh bayi asuhan dihukum gantung smpai mati appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved