
PUTRAJAYA - Seorang penganggur dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan selepas didapati bersalah membunuh dan meliwat seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan yang berada di bawah jagaan isterinya.
Keputusan sebulat suara itu dicapai selepas mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Serentak dengan keputusan tersebut, hukuman asal penjara 30 tahun dan 13 sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini terhadap Mohamed Badruldin Mohamed, 41, diketepikan.
Panel hakim berpendapat, hukuman terdahulu yang dikenakan ke atas responden adalah tidak memadai dan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
"Kami merujuk kepada laporan bedah siasat yang jelas merekodkan kecederaan pada bahagian dubur mangsa serta kesan lebam pada bahagian kiri bibir, iaitu penemuan yang konsisten dengan punca kematian akibat dilemaskan.
“Kecederaan serius ini menggambarkan kekejaman dan kesakitan luar biasa yang terpaksa ditanggung oleh seorang bayi yang tidak berdosa.
"Ahli kimia turut mengesahkan penemuan profil asid deoksiribonukleik (DNA) air mani responden pada sampel calitan yang diambil dari bahagian dubur dan rektum mangsa. Bukti ini mengesahkan bahawa mangsa telah diliwat oleh responden, iaitu individu yang sepatutnya dipertanggungjawabkan untuk memastikan keselamatannya," kata mahkamah.
Mahkamah turut mendapati Mahkamah Tinggi gagal memberikan alasan yang munasabah berhubung hukuman ringan yang dijatuhkan sebelum ini.
"Pada pandangan kami, Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila terlepas pandang sifat kejam kesalahan ini, peruntukan undang-undang substantif yang berkaitan, serta tahap keseriusan jenayah tersebut.
"Tindakan responden menunjukkan keganasan melampau, kekejaman yang mendalam, hilangnya sifat kemanusiaan, serta sikap tidak menghiraukan nyawa seorang bayi yang tidak berdaya, di samping mengkhianati kepercayaan keluarga mangsa.
"Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada responden dan masyarakat bahawa jenayah sebegini amat menjijikkan, dan satu-satunya hukuman muktamad yang wajar ialah hukuman mati.
"Oleh itu, rayuan perayu (pihak pendakwaan) dibenarkan. Hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi diketepikan dan digantikan dengan hukuman gantung sampai mati atas kesalahan membunuh mangsa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," tegas panel hakim.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Norsyhazwani Ishak, manakala Mohamed Badruldin diwakili peguam, Datuk Mohtarudin Baki. - Getaran, 20 November 2026





