Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia selepas sebuah unit kediaman di tingkat 26 kondominium Tiffani Kiara, Mont Kiara terbakar pada malam Rabu.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur, panggilan kecemasan diterima melalui sistem NG999 pada jam 8.46 malam.
“Anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas, serta BBP Menjalara, BBP Sentul dan BBP Taman Tun Dr. Ismail, segera dikerahkan ke lokasi,” jelas kenyataan itu.
Katanya, sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak di dalam unit tersebut. Usaha memadam dan menyelamat dijalankan dengan segera, namun pasukan menghadapi kesukaran kerana sistem pencegah kebakaran di bangunan tidak berfungsi dengan baik. Bomba terpaksa menggunakan dua pam angkut dan pam jentera untuk menyalurkan air ke unit terbabit.
Baca juga:
Dalam insien berkenaan, pasukan penyelamat menemui seorang lelaki di balkoni dalam keadaan melecur sepenuhnya. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.
Memetik laporan Bomba Channel, PGO memaklumkan kebakaran membabitkan keluasan sekitar 1,500 kaki persegi dengan kemusnahan 100 peratus, sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 2.03 pagi.
“Punca kejadian masih dalam siasatan Unit Forensik,” katanya.
The post Lelaki maut dalam kebakaran unit kondominium di Mont Kiara appeared first on The Reporter.


