
GOMBAK – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori simen yang sedang mengundur sebelum mangsa digilis dalam kemalangan di Kilometer 442.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.40 petang itu, mangsa berusia 34 tahun yang bekerja sebagai penasihat jualan sebuah syarikat kenderaan dalam perjalanandari arah Rawang menghala ke Bukit Beruntung.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, kemalangan berlaku selepas lori berkenaan dipercayai mengalami kerosakan enjin ketika berada di lorong kanan.
“Pemandu lori berkenaan kemudiannya keluar dari kenderaan tersebut dan bergerak ke bahu jalan di sebelah kiri sebelum menghubungi majikannya untuk mendapatkan bantuan.
“Tidak lama kemudian, lori berkenaan telah bergerak mengundur lalu melanggar motosikal yang ditunggang mangsa ketika berada di lorong tengah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, motosikal mangsa terperosok di bawah lori manakala mangsa digilis kenderaan berat berkenaan.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sungai Buloh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.
“Kes disiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sehubungan itu, orang ramai khususnya saksi bebas yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat serta rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di lokasi diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Tambah beliau, maklumat tersebut boleh disalurkan terus ke Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Noor Farah Hanim Abu Bakar di talian 019-3311552, Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki maut digilis lori simen mengundur di lebuh raya appeared first on Kosmo Online.






