Lelaki Maut Dirempuh Pikap Polis, Keluarga Mahu Ambil Tindakan Dan Tuntut Keadilan

LocalPolitics
26 Nov 2025 • 5:45 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Keluarga Muhammad Firdaus Aiman Zainon, 24, masih dalam kesedihan selepas mangsa maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah pikap polis di Jalan Persiaran Wawasan, berhampiran Mini Putrajaya, Perlis pada Selasa malam.

Menurut laporan Sinar Harian, insiden itu juga menyebabkan seorang lagi penunggang motosikal, Aliff Noorhakim Alijesree, 25, cedera parah.

Nor Fariza Hazain, 39, ibu saudara mangsa, berkata arwah sempat membuat panggilan video kepadanya pada petang hari kejadian untuk memaklumkan bahawa rumah keluarga mereka di Kampung Titi Tok Bandar ditenggelami air akibat hujan lebat.

“Saya memang bercadang balik untuk angkat barang, tetapi kerana hujan lebat di Pulau Pinang, saya tangguh dahulu. Kemudian, saya mendapat panggilan daripada sepupu arwah bahawa Muhammad Firdaus terlibat dalam kemalangan.
“Saya amat terkejut apabila dimaklumkan bahawa dia telah meninggal dunia,” katanya.
image is not available

Foto: Sinar Harian

Nor Fariza menegaskan bahawa pihak keluarga akan menuntut keadilan bagi mangsa.

“Insya-ALLAH, saya akan ambil tindakan bagi menuntut keadilan. Dia cucu kesayangan yang baik, sentiasa mengambil berat terhadap datuk dan neneknya,” ujarnya.
image is not available

Foto: Sinar Harian

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan peronda polis dipercayai hilang kawalan dan masuk sedikit ke laluan bertentangan, lalu melanggar kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Seorang anggota polis yang memandu kenderaan berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan,” jelasnya.

image is not available

Kejadian kira-kira jam 10.20 malam itu meninggalkan kesedihan mendalam dalam kalangan keluarga yang mengenali Muhammad Firdaus sebagai seorang yang penyayang dan bertanggungjawab.

Kini, keluarga arwah bersiap untuk menuntut keadilan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang.

Sumber: Sinar Harian (Siti Zubaidah Zakaraya)

The post Lelaki Maut Dirempuh Pikap Polis, Keluarga Mahu Ambil Tindakan Dan Tuntut Keadilan appeared first on Borak Daily.