
TANJUNG MALIM – Seorang lelaki maut setelah kereta dipandunya terbabas dan melanggar pembahagi jalan di atas sebuah jambatan di Jalan Persekutuan Trolak Pekan, Slim River di sini tengah malam tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.08 tengah malam oleh orang awam.
Katanya, kemalangan jalan raya itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Gen2 yang terbabas melanggar pembahagi jalan di atas jambatan.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pemandu kereta tersebut.
“Seorang lagi mangsa ialah lelaki berusia 22 tahun yang berada di tempat duduk penumpang,” katanya di sini hari ini.
Sabarodzi berkata, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota mengeluarkan pemandu yang masih berada di dalam kereta tersebut menggunakan stretcher.
Katanya, pemandu kereta itu kemudiannya diperiksa oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan disahkan telah meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Penumpang kereta yang cedera ringan telah keluar dengan sendirinya, diberikan rawatan awal dan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans KKM,” katanya.
Operasi yang dilaksanakan oleh anggota dai Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Slim River tamat pada pukul 1.08 pagi. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki maut kereta dipandu terbabas langgar pembahagi jalan appeared first on Kosmo Online.






