Tak sempat sampai sekolah, murid Tahun Dua maut dirempuh kereta

27 Sep 2026 • 3:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tak sempat sampai sekolah, murid Tahun Dua maut dirempuh kereta
Keadaan motosikal dan sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 50, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu pada pagi Ahad. Foto polis

SETIU - Seorang murid perempuan berusia lapan tahun maut selepas motosikal ditunggangi neneknya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 50, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran sekolahnya di sini pagi Ahad.

Mangsa, Putri Jannatul Arisha Abdullah, murid Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 29 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Zahril Asri Mohd Zain berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu mangsa membonceng motosikal Yamaha LC yang ditunggangi neneknya yang berusia 50 tahun dari Simpang Langkap menuju ke sekolah.

"Setibanya di jalan utama, motosikal berkenaan masuk ke simpang sekolah sebelum dilanggar kereta Proton Waja dipandu lelaki berusia 54 tahun yang datang dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kota Bharu.

"Pemandu kereta dipercayai tidak sempat membrek dan mengelak sebelum melanggar bahagian sisi kanan motosikal menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal tercampak di atas jalan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Zahril Asri berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu untuk tindakan lanjut manakala neneknya yang cedera parah dihantar ke hospital sama untuk rawatan.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved